Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera
Para tetamu Sushi Travel yang dirahmati Allah sekalian
Semoga semuanya berada di dalam kesejahteraan dan kemanisan iman
Situasi Semasa & Pembukaan Semula
Sejak bermulanya Pandemik pada tahun 2020, kami telah menghadapi pelbagai kehilangan. Kami telah kehilangan pejabat, kehilangan website akibat tidak mampu bayar, dan yang paling terutama kami telah kehilangan punca pendapatan sekeluarga. Kami telah berusaha menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain untuk meneruskan hidup sepanjang tempoh 2 tahun yang cukup perit ini, dengan pulangan yang hanya cukup makan.
Ramai juga kami lihat rakan seperjuangan travel agent lain yang telah kecundang dan menurunkan tirai sepenuhnya. Akan tetapi, kami tetap kekal usaha untuk bertahan walaupun hanya on-paper dan secara maya.
Alhamdulillah bermula tahun 2022 dengan pembukaan semula sempadan banyak negara, perniagaan agensi pelancongan sudah dapat diteruskan semula.
Oleh yang demikian, kami memohon tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian agar berilah kami sedikit masa lagi untuk membangunkan semula perniagaan kami yang bagaikan nyawa dihujung tanduk ini. Kami memerlukan masa untuk mendapatkan dana baharu demi membuka semula pejabat, mencari staff serta melangsungkan kembali trip keluar negara yang merupakan perniagaan utama kami. Kami dalam proses untuk membaik pulih aliran akaun yang terbantut bagi mendapatkan pinjaman baharu untuk ‘kick-start’ semula perniagaan ini serta melanjutkan urusan pulangan wang anda (bagi yang terlibat)
Situasi semasa Negara Jepun
Sehingga hari ini (23/2/2022) Negara Jepun masih tidak membenarkan kemasukan pelancong dari seluruh dunia termasuklah Malaysia dengan preteks ancaman varian Omicron dan 70,000 kes baharu setiap hari. Dikhabarkan oleh agensi berita bahawa Negara Jepun akan dibuka semula untuk penduduk tetap, pelajar dan business traveller secara berperingkat mulai Mac 2022. Akan tetapi, kuarantin wajib masih dikuatkuasakan iaitu selama 7 hari.
Oleh yang demikian, kami di Sushi Travel Sdn Bhd membuat keputusan untuk membuka dahulu trip ke negara-negara yang sudah membenarkan kemasukan pelancong asing terutamanya Eropah, Vietnam, Turki, Thailand, dan yang terbaru Amerika Syarikat. Kami akan melancarkan trip pertama seawal Mei 2022.
Kami juga bercadang untuk membuka business trip ke Jepun untuk syarikat yang berminat menjalankan urusan perniagaan/ pengambilan stock / meeting dan sebagainya bermula Mei 2022 juga.
Status Trip Anda
Bagi yang telah menempah trip bagi trip musim bunga 2020, kami memohon maaf kerana kemungkinan besar bagi tahun 2022 juga trip musim bunga ke Jepun tidak dapat dijalankan disebabkan undang-undang kemasukan negara Jepun yang masih sangat ketat. Oleh yang demikian kami ingin menawarkan pilihan baharu bagi tuan-tuan dan puan-puan yang sudah terlalu lama menunggu.
1. Pilihan Pakej ke Destinasi Lain
Sebagai contoh, pakej ke London / Paris / Turki atau lain-lain yang kami tawarkan . Sekiranya anda ingin tukar, anda boleh memilih pakej dengan nilai yang sama yang telah anda bayar, ataupun yang nilainya lebih tinggi dan anda hanya perlu membayar perbezaan harganya sahaja.
2.Refund
Kami amat mengesali dan turut terkesan dengan pembatalan trip. Kami ingin menawarkan pulangan wang kepada anda sekiranya tidak ada cara lain. Akan tetapi, kami juga sedang mengalami kemelut kewangan yang teruk dan refund anda akan mengambil masa yang sedikit lama lagi. Untuk pengetahuan anda, kami tidak berjaya mendapatkan semula credit account mahupun wang kembali dari kebanyakan penerbangan yang terbatal akibat COVID, walaupun telah dihubungi tanpa henti berkali-kali. Kami kerugian puluhan ribu ringgit secara keseluruhan akibat tiket penerbangan yang ‘burn’ oleh syarikat penerbangan yang tidak bertanggungjawab atas preteks ‘pandemik’ walaupun pemilik-pemiliknya masih hidup kaya raya, manakala yang terseksa adalah syarikat kecil seperti kami.
Kami ingin membuktikan kepada anda bahawa kami bukanlah seperti mereka dan tidak ingin mengambil sumber harta yang tidak berkat. Kami juga bukanlah syarikat yang besar seperti Andalusia atau Kembara Sufi yang bertaraf taikun, sekadar syarikat kecil milik keluarga yang serba kekurangan. Sekiranya anda inginkan refund, kami memohon berikan kami masa untuk mengumpul semula dana dan Insha Allah apabila syarikat kami bertambah pulih, kami akan hubungi anda dengan segera untuk urusan pemulangan wang.
3.Pindaan Tarikh Sekali Lagi
Kami amat-amat berterima kasih kepada anda yang tetap setiap dengan pakej Jepun kami. Kami juga begitu, teramat rindukan kelopak bunga sakura yang berkembang mekar di Asakusa, kemeriahan Ueno dan Shinsaibashi Osaka, keindahan Bamboo Forest dan kesegaran udara di Arashiyama Kyoto apabila kita menaiki Sagano Romantic Train. Percayalah apabila tiba masanya yang diizinkan Allah kita akan menjejakkan juga kaki di negeri Matahari Terbit. Kami tidak sabar untuk membawa anda ke sana, diharapkan seawal musim panas atau musim luruh tahun ini, ataupun musim Sakura tahun hadapan. Marilah kita doakan agar dihidayahkan ilham kepada pupuk kepimpinan kerajaan Jepun cara terbaik untuk menangani pandemik di negaranya dan akhirnya membuka sempadan negara kepada pelancong semula.
Restart Date
Pada asalnya kami merancang untuk membuka semula pada Disember 2021. Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan; termasuklah kami sekeluarga terkesan dengan jangkitan COVID-19, kami terpaksa menunda pembukaan. Kini kami menetapkan tarikh baru pembukaan pada Mac 2022 untuk urusan tempahan pakej Eropah. Tarikh trip pertama kami akan disenaraikan dalam masa terdekat bagi yang ingin menempah atau ingin menukar destinasi.
Terima kasih kepada anda semua yang masih kekal bersama kami. Kami dengan penuh merendah diri memohon doa tuan-tuan dan puan-puan agar kami dapat berdiri semula seperti mana suatu masa yang lalu sebelum pandemik melanda. Kami juga mendoakan agar tuan-tuan dan puan-puan dilimpahkan rezeki dan kesihatan yang berpanjangan dan semoga kita dipertemukan semula dalam jangka masa terdekat, Insha Allah.
Ahmad Nazirun Mubin
Ahmad Kamal Yaacob
Pemilik
Sushi Travel Sdn Bhd