Hai, Assalamu’alaikum semua.
Hari ini kami dari Sushi Travel ingin berkongsi dengan anda semua tempat-tempat menarik di Bukittinggi, Sumatera Barat. Sebelum ini kami pernah mendapat cadangan daripada beberapa orang pelanggan untuk membuat trip pelancongan ke Sumatera Barat, In shaa Allah jika ada permintaan yang tinggi, kami akan membuat pakej percutian ke Sumatera Barat, Indonesia.
Bukittinggi
Bukittinggi merupakan salah satu tempat di Sumatera Barat yang terkenal dengan kepelbagaian kawasan yang menarik dan indah. Pada 19 Disember 1948, Kota Bukittinggi pernah menjadi ibu negara Indonesia sebelum Jogjakarta. Kota bersejarah ini telah meninggalkan banyak tempat-tempat bersejarah dan menarik untuk kunjungan ramai. Oleh itu, rugi kalau kita tidak jejak ke kota cantik ini.
Antara kawasan yang perlu anda pergi di Bukittinggi ini:-
1. Jam Gadang

Jam Gadang merupakan monumen Kota Bukittinggi. “Gadang” merupakan perkataan daripada bahasa Minangkabau yang bermaksud besar. Monumen ini dibina sekitar tahun 1826 ketika penjajahan belanda. Miskipun telah berusia beratus tahun, jam ini masih kelihatan teguh dan cantik hingga kini.
Di sekitar kawasan Jam Gadang ini terdapat banyak gerai-gerai jualan baju, makanan, alat komunikasi dan lain-lain. Jika anda penggemar baju dan kain batik atau ole-ole untuk keluarga dan kawan-kawan, disinilah tempat sesuai untuk anda memborong, kerana disini semua barang sangat murah berbanding kawasan-kawasan yang lain. Contohnya jika di Kota Padang anda melihat harga satu baju batik 60,000-70,000 rupiah sehelai, di Bukittinggi anda boleh dapat sekitar 50,000 rupiah sahaja.
2. Lobang Jepang (Lubang Jepun)

Lubang Jepun merupakan sebuah terowong perlindungan yang dibangun oleh tentera jepun sekitar tahun 1942 untuk kepentingan pertahanan mereka. Lubang ini mempunyai panjang yang mencapai kira-kira 1400 meter dan mempunyai tempat-tempat khas seperti penjara, gudang senjata, ruang pemantauan dan ruang mesyuarat.
3. Ngarai Sianok
Setelah anda keluar sahaja dari lubang jepun ini, anda boleh melihat panorama yang cantik. kawasan panorama ini sangat dekat dengan lubang jepun, sekitar 5-10 minit menaiki kereta.

Ngarai Sianok ini merupakan satu kawasan yang mempunyai panorama yang cantik. Panorama semulajadi ini merupakan kesan daripada patahan bumi yang disebabkan oleh gempa bumi. Kawasan ini merupakan jurang pemisah antara Kota Bukittinggi dan Nagari Koto Gadang, Kabupaten Agam.
4. Janjang Saribu

Sambil di Ngarai Sianok, terdapat satu lagi monumen yang menarik dan unik boleh kita pergi, iaitu Janjang Saribu. Kedudukannya di Ngarai Sianok. Janjang Saribu ini merupakan tangga dan jalan yang mempunyai tembok, ciri-ciri Janjang Saribu ini seperti Tembok Besar China. Anda tidak perlu ke China, di sini juga boleh rasa suasana di China!
Janjang ini merupakan jalan yang menghubungkan Kota Bukittinggi dan Nagari Koto Gadang, di tengah-tengah janjang ini terdapat satu jambatan gantung yang dikenali sebagai Jambatan Merah. Para pelancong boleh menikmati pemandangan yang cantik ketika berada di atas Janjang Saribu ini.
Banyak lagi kawasan di sekitar Bukittinggi yang boleh kita jejaki. Di atas ini hanyalah beberapa tempat yang menarik di sekitar Bukittinggi.
Nantikan beberapa lagi kawasan-kawasan yang menarik sekitar Sumatera Barat kami perkenalkan kepada anda semua!