Hai Assalamualaikum semua, apa khabar? Moga dalam keadaan baik-baik belaka ya!
Dah baca travelog terbaru kami tentang tempat menarik di Bukittinggi, Sumatera Barat? Kalau belum, jemput baca dulu ya, nanti tertanya-tanya pula.
Baik, hari ini kami nak berkongsi dengan anda semua satu tempat yang indah. Kepada semua para pecinta alam, travelog hari ini berkaitan dengan sebuah tempat indah yang bernama Solok.
Solok merupakan sebuah kawasan besar yang mempunyai tiga daerah iaitu Kabupaten Solok, Kota Solok dan Solok Selatan. ketiga-tiga daerah ini mempunyai keunikan tersendiri. Kebiasaannya yang menjadi tarikan adalah di Kota Solok dan Kabupaten Solok, kerana kedua kawasan ini terdapat panorama danau yang cantik.
1. Kebun Teh, Alahan Panjang, Kabupaten Solok
Alahan Panjang merupakan suatu kawasan yang paling sejuk di Sumatera Barat. Kawasan berbukit ini merupakan kawasan pertanian dan perdagangan, kebanyakkan penduduk di sini merupakan petani dan pedagang. Antara tanaman yang boleh kita jumpa di situ ialah padi, teh, strawberry serta pelbagai sayur seperti cili, kobis dan lain-lain. Kawasan ini sering menjadi tarikan pelancong yang datang ke Sumatera Barat.
2. Danau Berkembar
Keunikan utama di Kabupaten Solok ini ialah dengan adanya danau berkembar. Danau ini dinamakan Danau Berkembar kerana terdapat tiga danau berdekatan, iaitu Danau Diatas, Danau Dibawah dan Danau Talang. Nama untuk danau ini berdasarkan kedudukan danau itu sendiri, Danau Diatas berada diatas bukit dan Danau Dibawah berada di bawahnya, manakala Danau Talang pula kerana danau ini berdekatan dengan Gunung Talang.
3. Masjid Agung Al-Muhsinin
Masjid Agung Al-Muhsinin merupakan salah satu masjid yang terkenal di Kota Solok. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Kota Solok. Keunikan seni bina luaran dan dalaman masjid ini menjadi tarikan orang ramai. Sekiranya ada majlis besar-besaran yang ingin dianjurkan, masjid ini akan menjadi tumpuan.
Banyak lagi tempat yang menarik di Solok ni sebenarnya seperti rumah pohon, kawasan air terjun dan sebagainya, maklumlah sebuah kawasan yang luas dan penuh dengan keindahan, jadi kami hanyalah berkongsi tempat yang terkenal disekitar daerah solok.
Nantikan beberapa lagi kawasan-kawasan yang menarik sekitar Sumatera Barat kami perkenalkan kepada anda semua!