Hai, Assalamualaikum semua! Apa khabar? Moga dalam keadaan sihat
Bukittinggi sudah, Solok juga sudah, jadi ada satu lagi tempat terakhir yang terkenal di Sumatera Barat iaitu Kota Padang. Tempat ini juga terkenal dan sering dijadikan kawasan untuk melacong. Hari ini kami nak berkongsi beberapa tempat menarik di sekitar tempat ini.
1. Minangkabau Airport (Bandar Udara Minangkabau)
Minangkabau Airport ataupun lebih dikenali oleh masyarakat sana dengan nama Bandar Udara (Bandara) Minangkabau merupakan lapangan terbang antarabangsa utama di Sumatera Barat. Nama destinasi untuk ke lapangan terbang ini ialah Padang (PDG) kerana kedudukan lapangan terbang ini di Padang. Terdapat juga beberapa kedai serbaneka dan kedai makan, jadi tak perlu risau sekiranya lapar bila turun dari kapal terbang.
2. Rumah Makan Lamun Ombak, Kota Padang
Kota Padang ini terkenal dengan makanan yang sedap-sedap dan murah, kami memberi cadangan untuk anda singgah makan di sini. Rumah makan ini terkenal dengan ‘Nasi Padang’, pelayan disini akan menghidangkan kepada anda pelbagai jenis makanan. Di kota padang ini sangat terkenal dengan nasi padang ini, banyak kedai juga kedai yang menjual nasi padang ini. Cara pengiraan untuk nasi padang ialah bergantung kepada pinggan, ada yang murah dan ada juga yang mahal.
Nasihat kami, sekiranya anda ingin makan nasi padang ini, anda hanya perlu ambil makanan yang anda mahu sahaja dan perlu dihabiskan, sekiranya anda telah mencuit sedikit pada lauk yang dihidangkan meskipun hanya mengambil secubit, anda perlu menghabiskannya atau membawa pulang makanan tersebut, kerana ia tetap dikira dengan harga penuh. Jika tidak dihabiskan, maka membazir dan sayang kerana lauk itu akan dibuang dan duit kita pun melayang.
3. Masjid Raya Sumatera Barat
Masjid ini merupakan masjid terbesar yang berada di Sumatera Barat, masjid ini sering menjadi tuan rumah ketika ada majlis besar-besaran seperti Tabligh Akbar dan beberapa majlis yang lain. Masjid ini mempunyai keunikan yang tersendiri, atap masjid ini berbentuk seperti bentuk bentangan kain, ia diambil berdasarkan kisah pengalihan baju hajarul aswad ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W di Kaabah, Makkah. Masjid ini tidak mempunyai tiang pada bahagian tengah, hanya mempunyai tiang pada setiap penjuru masjid. Seni ukiran pada binaan masjid ini bertemakan seni Minangkabau.
4. Pantai Air Manis
Pantai ini menjadi tarikan pelancong yang datang ke Padang, pantai yang mempunyai panorama yang indah ini juga berdekatan dengan beberapa buah pulau. Terdapat sebuah pulau yang berdekatan dengan pantai ini bernama Pulau Pisang. Anda boleh ke tengah pulau itu sekiranya air surut, laluan untuk kepulau itu hanya akan timbul apabila air mula surut dan akan tenggelam apabila air pasang.
Pantai Air Manis ini juga terkenal dengan mitos kisah Malin Kundang. Malin Kundang ini ialah cerita seorang anak yang derhaka kepada orang tuanya lalu di sumpah menjadi batu. Monumen batu sumpahan itu juga berada di pantai ini. Kisah ini sering diceritakan kepada anak-anak untuk mereka mengambil iktibar berdasarkan kisah ini.
Empat tempat ini adalah tempat yang menjadi kebiasaan bual bicara penduduk sekitar itu jika ditanya tempat-tempat yang menarik sekitar Kota Padang, Indonesia.
Inilah penutupan travelog kami berkenaan lokasi-lokasi pelancongan yang menarik di sekitar Sumatera Barat, Indonesia. Kawasan yang penuh dengan kecantikan alam semulajadi dan ciptaan, semoga Team Sushi Travel boleh buat trip baru ke Sumatera Barat.
Doakan kejayaan kami!