Osaka, Jepun – Ribut taufan berkelajuan 160km/jam yang melanda daerah barat Jepun pada rabu lalu menyebabkan tanah runtuh, banjir, ombak besar, kebakaran dan pelbagai kemusnahan di daerah Kansai, Hyogo, Osaka, Kobe.
Lapangan terbang utama di daerah barat Jepun, Kansai International Airport telah ditutup akibat banjir. Sebuah kapal tangki telah melanggar jambatan yang menyambungkan lapangan terbang tersebut ke tanah besar, menyebabkan 3000 orang terkandas di lapangan terbang. Bantuan feri untuk menghantar mangsa dari Kansai Airport ke Kobe Airport hanya tiba pada keesokan harinya setelah cuaca mulai reda.
Di daerah Hyogo pula, ratusan kenderaan terbakar dan musnah akibat kesan ribut kepada bateri kereta.
Lapangan terbang Kansai masih lagi ditutup sehingga ke hari ini dan beratus-ratus penerbangan telah dibatalkan. Air Asia telah memberi pilihan kepada penumpang yang terlibat untuk menukar penerbangan ke Haneda atau Nagoya ataupun refund dalam bentuk tunai atau mata ganjaran.
Pada masa lain, daerah Hokkaido dilanda gempa bumi 6.7 skala richter pada jam 3.00 pagi semalam menyebabkan tanah runtuh besar yang mengorbankan sekurang-kurangnya 7 nyawa dan ratusan lagi tercedera. Bekalan elektrik di seluruh Hokkaido dan Sapporo turut terputus serta lapangan terbang Chitose juga terpaksa ditutup.
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe telah mengeluarkan arahan supaya pasukan kecemasan ditubuhkan. Seramai 25 ribu anggota penyelamat dikerahkan untuk operasi menyelamat.